Jumaat, 2 November 2012

RASULULLAH SEBAGAI IKUTAN


PERIBADI RASULULLAH SEBAGAI IKUTAN

Jika ada seorang manusia yang layak dijadikan ‘model’ manusia unggul, maka dia ialah Muhammad. Keunggulannya telah diakui sendiri oleh Allah s.w.t. “Sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4). Keagungan peribadinya bukan hanya untuk dikagumi bahkan sebenarnya untuk menjadi contoh ikutan bagi kita. “Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh tauladan yang baik bagimu” (Al-Ahzaab: 21, Al-A raat 158, Ali lmran: 30). Dan Muhammad sendiri mengatakan bahawa’Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak” (HR Ahmad).

Sebagai manusia contoh, perlulah peribadi dan laku perbuatannya disorot sekadar perlu. Pertamanya, beliau dikatakan memiliki personaliti ‘hebat’, iaitu semacam sifat yang menyebabkan seseorang itu ditakuti tetapi juga dihormati. Lantaran hebatnya, orang tidak berani mengangkat mukanya sewaktu beliau bercakap. Dan kalau mereka ingin ketawa, cuma setakat senyum sahaja. Peribadinya menggerunkan, sehingga seseorang yang tadinya berazam untuk menyakitinya akan menggeletar apabila berdepan dengannya. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan menawarkan sesiapa yang berani pergi ke Madinah untuk membunuh Nabi, tampillah Usaid bin Hudhair menyahut cabarannya. Tetapi apabila sampai di Madinah dan menemui Nabi, tergamamlah Usaid lalu berkata: “Demi Allah! Ya Muhammad. Tidak aku takut kepada manusia, tetapi ketika aku melihatmu, hilanglah akalku dan lemahlah badanku. Selain itu, engkau tahu pula maksudku yang mana sesiapa pun tidak mengetahuinya. Maka ketahuilah aku bahawa engkau orang yang dipelihara oleh Tuhan, dan engkau dalam kebenaran”. Sesudah ifu Usaid pun memeluk Islam.

Demikian juga ketika Al-Arasyi datang menuntut hutangnya dari Abu Jahal yang sengaja melambat-lambatkannya, orang-orang Quraisy sambil mempermain-mainkannya menasihatkan agar Al-Arasyi menemui Muhammad yang katanya boleh mendapatkan wangnya dari Abu Jahal. Kerana mempercayainya, dia terus menemui Muhammad, dan kemudiannya mereka terus ke rumah Abu Jahal. Sebaik sahaja Abu Jahal membuka pintunya dan melihat Muhammad tercegat di depannya, berubahlah mukanya lalu terus masuk ke dalam mengambil wangnya dan memberinya kepada AI-Arasyi, semata-mata kerana takutkan Muhammad!

Sungguhpun personalitinya hebat dan menggerunkan, tetapi beliau banyak pula tertawanya. Cuma tertawanya hanyalah pada tempatnya, dan ianya setakat senyuman sahaja. Dan bila beliau tertawa, kata Abu Hurairah, kelihatan seolah-olah dinding pun turut bergemilang. Baginda pun pemah bergurau, tetapi tidaklah sampai berdusta atau melewati batas kesopanan. Pernah kepada seorang perempuan tua Baginda berseloroh bahawa orang-orang tua tidak dapat masuk syurga. Ini tentunya sangat menyedihkannya, hinggalah Rasulullah mengatakan bahawa dia akan masuk syurga juga, iaitu setelah lebih dulu dimudakan!

Jika sifat hebatnya itu menyebabkan orang menjadi gentar, tetapi sifat ‘tawaduk’nya (merendah diri) pula sangat mempesonakan orang. Sungguhpun kedudukannya yang tinggi menyebabkan orang menghormatinya, beliau ternyata sangat suka merendah diri. Di rumah, beliau makan bersama-sama bujangannya, menjahit sendiri pakaiannya yang koyak, menampal sendiri kasutnya yang berlubang dan jua menyapu rumahnya. Ketika bersama-sama sahabatnya, beliau duduk di mana saja terdapat kekosongan tanpa memilih tempat, sehingga tidak dapat dibezakan sama sekali dengan orang lain. Beliau kadang-kadangnya menunggang kaldai bersendirian, dan kadang-kadang dengan memboncengkan orang lain. Pernah ketika beliau membeli beberapa helai seluar, Abu Hurairah ingin membawanya, tetapi jawab beliau: “Orang yang punya barang ingin membawanya.” Dan ketika, berlakunya peperangan AI-Ahzaab, beliau turut bertungkus-lumus menggali parit bersama orang lain. Semuanya itu sanggup dilakukannya, kerana katanya; “aku tidak suka kelihatan terbeza dari sahabat-sahabatku.”

Dari segi pendiriannya, beliau terkenal sebagai seorang yang sangat teguh dan tegas dalam menegakkan Kalimah Allah. “Sekiranya tidak lantaran Kami telah tetapkanmu, nescaya engkau condong sedikit kepada kemahuan mereka.” (Bani Israel: 74). Keteguhan pendiriannya terbukti jelas ketika orang-orang Quraisy mengutus Utbah bin Rabiah untuk memberi berbagai-bagai tawaran kepadanya, dengan syarat beliau menghentikan kegiatan dakwahnya. Kata Utbah: “Sekarang bagaimanakah Muhammad, apa yang menjadi kehendakmu dengan mengadakan agama baru itu? Jikalau dengan mengadakan agama baru itu, engkau berhajat akan harta benda, kami sanggup mengumpul harta benda buat engkau, sehingga engkau menjadi seorang yang paling kaya di antara kami. Jikalau engkau menghendaki kemuliaan atau ketinggian darjat, maka kami sanggup menetapkan engkau menjadi seorang yang paling mulia dan paling tinggi darjatnya di antara kami dan kamilah yang akan memuliakanmu. Jikalau engkau ingin menjadi raja, maka kami sanggup mengangkat engkau menjadi raja kami, yang memegang kekuasaan di antara kami, yang memerintah kami, dan kami semuanya tidak akan berani memutuskan sesuatu perkara, melainkan dengan izinmu atau dari keputusanmu. Jikalau engkau menghendaki perempuan-perempuan yang paling cantik, sedang engkau tidak mempunyai kekuatan untuk mencukupi keperluan mereka maka kami sanggup menyediakan perempuan-perempuan Quraisy yang paling cantik di antara perempuan kami dan pilihlah sepuluh atau seberapa saja menurut kehendakmu. Dan kamilah yang akan mencukupi keperluan mereka masing-masing, dan engkau tidak usah memikirkan keperluan mereka itu.”

Selesai sahaja Utbah berucap, Muhammad lalu membaca surah Fussilat ayat 1 hingga 14 yang mana menyebabkan Utbah semacam terpukau mendengarnya, hingga musnahlah segala rencana mereka selama ini. Pernah pula pemuka-pemuka Quraisy datang mengugut Abu Talib dan memintanya agar menasihatkan Muhammad, tetapi dengan tegas Baginda berkata: “Hai pakcikku! Jika mereka letakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku tinggalkan urusan agama ini, tidak akan aku turut, hingga Allah menangkan agama ini atau aku binasa kerananya!”

Jika dalam pendiriannya itu beliau cukup keras dan tegas, namun dari segi lain pula beliau merupakan seorang yang lemah-lembut. Ketika Makkah sudah berjaya ditakluki, ia memanggil orang-orang Quraisy yang sedang menunggu hukumannya dengan ketakutan sambil bertanya: “Apakah yang kamu sangka aku akan berbuat terhadap kamu?” Jawab mereka: “Kebaikan, kerana engkau saudara kami yang pembelas, dan anak dari saudara kami yang pembelas”. Maka jawablah Baginda: “Pergilah, kamu sekalian bebas!” Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa orang yang dikecualikan daripada pengampunan itu, seperti lkrimah bin Abu Jahal misalnya. lkrimah melarikan dirinya, lalu dikejar oleh isterinya Ummu Hakim yang sudah meminta ampun dari Nabi buat suaminya. Katanya: “Janganlah engkau binasakan dirimu. Aku datang dari sebaik-baik manusia dan aku telah dapatkan keamanan bagimu”. Maka dia pun pulang bersama isterinya, dan ternyata Muhammad menerimanya dengan baik, meskipun beliau dan ayahnya termasuk musuhnya yang terbesar.

Pada masa itu juga Safwan bin Umayyah, musuh Islam yang bengis, bersembunyi dan hendak membunuh diri dengan terjun ke laut. Sepupunya Umair datang kepada Nabi menceritakan hal Safwan itu, maka Nabi menyuruh dikejar Safwan dengan memberikan serban sebagai tanda aman dan pengampunannya. Setelah kembali, dia meminta tempoh dua bulan lamanya daripada Nabi untuk berfikir masuk Islam, tetapi Nabi memberinya empat bulan. Bagaimanapun tidak sampai 4 bulan, Safwan pun memeluk Islam.

Tidak cukup dengan sifat pemaafnya, Muhammad juga seorang yang pemurah lagi dermawan. Seperti kata Jabir bin Abdullah, tidak pernah orang yang meminta sesuatu kepadanya dapat jawapan Tidak. Suatu ketika beliau menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu diletakkan di atas tikar. Tetapi kesemua wang itu dibagi-bagikannya, hingga apabila datang seseorang meminta sesuatu, beliau berkata: “Sayang sekali, saya sudah tidak mempunyai apa-apa lagi. Tetapi belilah sesuatu dengan berhutang atas namaku. Nanti kalau rezeki datang akan saya bayar”. Pemah pula seorang lelaki datang meminta sesuatu, lalu Rasulullah memberinya sekelompok kambing yang kerana banyaknya sampai menutup jalan antara dua gunung. Orang ini pulang kepada kaumnya dan berkata: “Hai kaumku. Masuklah Islam, kerana Muhammad itu apabila memberikan sesuatu pemberian adalah sebagai seorang yang tidak takut miskin sama sekali. Tidak pernah kalau diminta, lalu berkata “Jangan”.

Seiring dengan sifat pemurah itu ialah sifat pengasih dan penyayangnya. la mengasihi sesiapa saja, baik kawan mahupun lawan, baik kanak-kanak mahupun orang tua, baik kaya mahupun miskin dan baik manusia mahupun binatang. Sering ia mempercepat solatnya apabila terdengar tangisan budak, agar lekas diurus oleh ibunya yang turut berjemaah bersamanya. Begitu kasihnya Muhammad kepada ibunya Aminah, hingga apabila permohonannya agar Tuhan mengampuni ibunya tidak diperkenankan, beliau lalu menangis di kuburnya. Dan terhadap pakciknya Abu Talib, kecintaannya ternyata pada percubaannya yang tak putus-putus agar ia memeluk Islam, tetapi gagal juga sehinggalah turunnya ayat Al-Quran (Al-Qasas: 56) yang melarang Nabi berbuat demikian. Selepas turunnya ayat ini, Abu Talib meninggal dunia tanda menganut Islam. Ini menambahkan lagi kedukacitaan Nabi sehingga sampai beberapa hari Baginda tidak keluar rumah kerana memohon agar Allah mengampunkannya. Akhimya turunlah sepotong ayat (At-Taubah: 113) yang mencegah permohonan Nabi terhadap orang-orang yang nyata kekafirannya, meskipun mereka itu kerabatnya yang hampir. Bagaimanapun berkat syafaat Nabi di Hari Kiamat, Abu Talib akan ditempatkan di neraka yang paling tipis apinya, iaitu cuma setinggi mata kaki, tetapi dapat menyebabkan otak mendidih. (HR Bukhari dan Muslim).

Tidak setakat manusia sahaja, kerahimannya juga meliputi binatang. Menurut riwayat Abdul Rahman bin Abdullah, suatu hari mereka bersama-sama Rasulullah dalam pelayaran, tiba-tiba mereka terlihat seekor ibu burung merak bersama dua ekor anaknya yang kecil. Mereka mengambil kedua-dua anaknya, dan kemudian datanglah ibunya mengepak-ngepakkan sayapnya lantaran marah. Melihat itu Rasulullah pun bersabda: “Sesiapa yang telah memisahkan anak-anak burung ini dari ibunya hendaklah dia mengembalikan semula kepada ibunya!”

Selain dari sifat-sifat tersebut, adalah Rasulullah ini sangat terkenal kerana keberaniannya. Seperti kata Ali bin Abu Talib, dalam peperangan Badar Rasulullah adalah yang terdekat sekali tempatnya dengan musuh dan juga terhebat semangatnya di antara seluruh mereka. Dan dalam peperangan Hunain, kata Abbas bin Abdul Mutalib, ketika kaum Muslimin bertempiaran lari akibat serbuan musuh secara tiba-tiba, Rasulullah tegap terpacak di tempatnya, bahkan menunggang baghalnya menuju ke pihak musuh.

Semua sifat-sifat yang dibicarakan di sini dan yang tak sempat dibicarakan, termasuk sifat ‘Al-Sadiq Al-Amin’ seperti yang dibicarakan dulu, benar-benar telah meletakkan Muhammad sebagai contoh manusia ideal. Dan sifat-sifat tersebut bukannya untuk menjadi bahan kajian semata-mata, melainkan untuk dicontohi serta diamalkan. Marilah kita bersama-sama cuba menurut jejak langkah Rasulullah yang mulia dan sempurna itu.

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###