Rabu, 14 November 2012

Baitulmuqaddis


Baitulmuqaddis

Baitulmuqaddis, juga dieja sebagai Baitulmaqdis (tulisan Arab/Jawi: بيت المقدس) atau Jerusalem (bahasa Ibrani: יְרוּשָׁלַיִם (audio) (bantuan·maklumat) Yerushaláyim, bahasa Arab: القدس atau أورسالم (audio) (bantuan·maklumat) al-Quds atau, Ūrsālim;[ii] lihat juga nama-nama Baitulmuqaddis) ialah sebuah kota lama yang terletak di Timur Tengah. Baitulmuqaddis memainkan peranan penting bagi agama Islam, Kristian, dan Yahudi. Ia merupakan kota paling suci bagi agama Kristian dan Yahudi dan tempat ketiga paling suci dalam Islam.
Baitulmuqaddis ialah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. "Kota Lama" Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur') dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan: Islam, Kristian, Yahudi, dan Armenia.
Kedudukan kota ini hangat diperkatakan. Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1949 di antara Israel dan Jordan menyebabkan kota ini terbahagi kepada dua. Baitulmuqaddis Barat menjadi milik Israel manakala Baitulmuqaddis Timur (Kota Lama) menjadi milik Jordan. Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967, Israel menguasai kesuluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. Israel juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak diiktiraf oleh masyarakat sedunia. Palestin juga menuntut supaya kesuluruhan Baitulmuqaddis ataupun sebahagian daripadanya yakni Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negaranya.
Kedudukan Baitulmuqaddis di Timur Tengah. Kota ini menjadi rebutan setelah dirampas oleh Israel.
Menurut orientalis Barat, Baitulmuqaddis mula menjadi tumpuan selepas Nabi Daud a.s. menakluk Baitulmuqaddis daripada masyarakat yang bernama Jebusite. Nabi Daud a.s. kemudiannya dikatakan mula mengembangkan kota ini dan menjadikannya ibu kota kerajaannya. Baitulmuqaddis kemudian dikatakan diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s.. Mengikut ahli sejarah Yahudi, Nabi Sulaiman a.s. telah membina sebuah kuil yang diberi nama Kuil Sulaiman.
Tidak lama kemudian tentera Babylon mula menguasai Baitulmuqaddis daripada orang Yahudi. Nebuchadnezzar II, raja Babylon kemudiannya menakluk Baitulmuqaddis dan memusnahkan Kuil Sulaiman. Dia kemudiannya menghalau orang Yahudi daripada Baitulmuqaddis. Selepas beberapa dekad, tentera Parsi menakluk Babylon. Cyrus II, raja Parsi membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitulmuqaddis dan membina semula kuil mereka. Kuil Kedua kemudiannya dibina oleh Herod Si Agung tetapi selepas kematiannya, kota ini jatuh ke tangan Rom.
Semasa pemerintahan Rom, masyarakat Yahudi di Baitulmuqaddis memberontak. Akibatnya tentera Rom mematahkan pemberontakan tersebut dan memusnahkan Kuil Kedua orang Yahudi. Yang tinggal hanyalah sebahagian daripada kuil itu yang dikenali sebagai Tembok Barat.
Selepas pemberontakan tersebut, orang Yahudi dibenarkan tinggal di situ tetapi dalam jumlah yang kecil. Pada kurun kedua, Maharaja Rom memerintahkan supaya Baitulmuqaddis dibina semula dan membina sebuah kuil orang Rom di situ sambil menghalang kegiatan keagamaan orang Yahudi. Orang Yahudi kembali memberontak tetapi berjaya dipatahkan tentera Rom. Baitulmuqaddis dinamakan semula menjadi Aelia Capitolina.
Orang Yahudi dilarang memasuki Baitulmuqaddis. Selama 150 tahun selepas itu, kota ini menjadi tidak penting bagi kerajaan Rom. Namun demikian, Maharaja Byzantine iaitu Constantine I membina Baitulmuqaddis sebagai pusat keagamaan Kristian dengan membina Gereja Makam Suci pada tahun 335 masihi. Orang Yahudi tetap tidak dibenarkan memasuki Baitulmuqaddis kecuali semasa pemerintahan singkat Empayar Parsi pada tahun 614 hingga tahun 629.
Walaupun Al-Quran tidak menyebut mengenai nama "Baitulmuqaddis" tetapi hadith ada menyebut mengenainya. Menurut hadith sahih, adalah di Baitulmuqaddis Nabi Muhammad s.a.w. naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Kota itu kemudiannya ditawan oleh angkatan tentera Islam pada tahun 638 Masihi. Saidina Umar Al-Khatab secara peribadi pergi ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan Baitulmuqaddis kepada kerajaan Islam. Beliau seterusnya ditawarkan bersembahyang di dalam Gereja Makam Suci tetapi menolaknya dan sebaliknya meminta supaya dibawa ke Masjidil Aqsa Al Haram Al Sharif. Beliau mendapati tempat itu terlalu kotor dan mengarahkan supaya pembersihan dijalankan. Beliau kemudiannya membina sebuah masjid kayu di tempat yang sekarang merupakan kompleks bangunan Masjid Al Aqsa.
Pemandangan udara Al-Haram Al-Sharif, dengan Qubbat As-Sakhrah di tengah, Tembok Barat dan Masjid Al Aqsa di bawah.
Enam tahun kemudian, Qubbat As-Sakhrah dibina. Struktur ini terdiri daripada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Perlu diingatkan bahawa kubah yang bersalut emas dan berbentuk oktagon ini tidak sama seperti Masjid Al Aqsa di sebelahnya yang dibina tidak lama kemudian. Semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya semasa pemerintahan kerajaan Ummaiyyah (650-750) dan kerajaan Abbasiyyah (750-969), kota Baitulmuqaddis berkembang. Ramai orang berpendapat Baitulmuqaddis pada ketika itu merupakan tanah yang paling subur di Palestin.
Pemandangan kaum wanita Muslim Baitulmuqaddis di Al Haram Al Sharif berlatar belakangkan Qubbah Al Sakhrah
Pemerintahan awal Islam juga mewujudkan sebuah tolenrasi di antara kaum. Namun semasa pemerintahan Al-Hakim Amr Allah, seorang khalifah kerajaan Fatimiyyah, beliau mengarahkan supaya semua gereja dan rumah ibadat bukan Islam dimusnahkan. Hal ini menyebabkan berlakunya Perang Salib. Pada tahun 1099, tentera Kristian Eropah menakluk Baitulmuqaddis. Mereka kemudiannya membunuh kesemua penduduk bukan Kristian yakni Muslim dan Yahudi.
Baitulmuqaddis kemudian dijadikan ibu kota Kerajaan Jerusalem. Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1291; Baitulmuqaddis sendiri ditawan oleh Salahuddin Al Ayyubi pada tahun 1187. Salahuddin juga membenarkan semua orang beribadat di Baitulmuqaddis tidak kira sama ada Kristian, Muslim atau Yahudi. Pada tahun 1243, Baitulmuqaddis jatuh kembali ke tangan orang Kristian sebelum jatuh kembali ke tangan orang Islam pada tahun berikutnya.
Pada tahun 1517, Baitulmuqaddis ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Sulaiman al-Qanuni membina semula tembok Baitulmuqaddis yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini.
British berjaya menewaskan Empayar Turki Uthmaniyyah semasa Perang Dunia I. Dengan kemenangan mereka itu, tentera British di Mesir memasuki Baitulmuqaddis pada 11 Disember 1917. Pihak British kemudiannya membina rumah-rumah baru di sini dan menyebabkan Baitulmuqaddis berkembang sehingga luar daripada temboknya. Pemerintahan British menandakan bermulanya suasana kelam kabut di sini. Pendatang-pendatang Yahudi yang mendapat perhatian daripada kerajaan British menyebabkan orang Islam amnya dan orang Arab khususnya mendapat layanan yang tidak adil. Keganasan ini terus meningkat sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an.
Pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan satu pelan untuk memisahkan Pentadbiran Mandat British di Palestin kepada dua buah negeri: satu untuk orang Yahudi, satu untuk orang Arab. Hal ini mengakibatkan berlaku pemberontakan di Baitulmuqaddis yang kemudiannya menyebabkan Perang Arab-Israel 1948 berlaku selepas pemerintahan Mandat British berakhir.
Semasa Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua. Bahagian baratnya yang meliputi bandar baru menjadi sebahagian daripada Israel manakala Bahagian timurnya termasuklah kota lama Baitulmuqaddis menjadi milik Jordan.
PBB mencadangkan supaya Baitulmuqaddis berada di bawah pentadbiran antarabangsa. Walau bagaimanapun, pada 23 Januari 1950, Parlimen Israel meluluskan satu resolusi untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Baitulmuqaddis Timur kemudiannya ditawan oleh tentera Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.
Walaupun Israel membenarkan penganut agama di Baitulmuqaddis akses ke tempat suci mereka, terdapat banyak kerisauan mengenai beberapa serangan ke atas Masjid Al-Aqsa seperti kebakaran pada tahun 1969 yang disebabkan oleh seorang pelancong Australia yang gila. Status Baitulmuqaddis Timur tetap menjadi satu isu yang kontroversi.
Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi. Sempena Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.
Pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel. Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Al Haram Al Sharif di Baitulmaqdis, tempat ketiga paling suci dalam Islam
Bagi Muslim, Baitulmuqaddis ialah tempat ketiga paling suci dalam Islam. Apabila kembali ke sejarah Baitulmuqaddis kita dapat melihat bahawa kota ini mengalami kesengsaraan sebelum kedatangan Islam. Apabila orang Islam menakluk kota ini barulah kota ini mencapai ketenangan dan keamanan. Ramai pedagang-pedagang Arab berdagang di sini termasuklah dari Makkah dan Madinah. Kota ini juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Makkah. Apabila tentera Salib menguasai kota ini semua penduduk kota ini yang bukan beragama Katolik Rom dibunuh dengan kejam.
Selepas Salahuddin Al-Ayyubi menawan kota ini kembali, Baitulmuqaddis kembali ke zaman kegemilangannya. Orang Islam, Kristian, dan Yahudi dapat beribadat tanpa sebarang gangguan.

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###