Khamis, 27 September 2012

LAMBAIAN BAITULLAH


LAMBAIAN BAITULLAH

   Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. yang telah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita sehingga dengan berbekalkan iman yang teguh kita telah dapat mencari keberkatan hidup yang diredhai Allah. Kita juga harus bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk merasai nikmat-nikmat-Nya di muka bumi ini, termasuklah dalam nikmatNya apabila dapat mengerjakan ibadat haji khasnya umat Islam yang telah dan terpilih menjadi tetamu Allah dengan mengunjungi Baitullah bagi menyahut panggilan haji. Mudah-mudahan ibadat haji yang akan dikerjakan menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu pengajaran dan pedoman bagi meningkatkan iman dan amal kita seterusnya menuju kepada kebahagiaan duniawi dan ukhrawi dengan keredhaan Allah S.W.T.
   Kini, kita sudah pun berada dalam musim haji iaitu mulai dari bulan Syawal hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah pada setiap tahun menjelang musim haji. Umat Islam yang dapat mengunjungi Baitullah, khasnya jemaah haji dari Malaysia amat bertuah kerana berpeluang dan terpilih menjadi tetamu Allah S.W.T. di tanah haram iaitu Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah, yang menjanjikan ganjaran syurga apabila berjaya melaksanakan haji yang mabrur.
   Ibadat haji pada syaraknya ialah mengunjungi Baitullah al-Haram dalam musim-musim haji untuk mengerjakan tawaf, sa’ie dan wukuf di Arafah mengikut syarat-syaratnya serta melaksanakan segala kewajipannya. Ibadat haji yang ditunaikan umat Islam ini merupakan rukun Islam yang kelima dan difardhukan bagi mereka yang berkemampuan untuk mengerjakannya. Sebagaimana firman Allah S.W.T.:
   Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah karena Allah.
(al-Baqarah :196)
Firman Allah S.W.T. lagi:
   Maksudnya: Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (diantaranya), maqam Ibrahim; Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia, mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup(mampu) mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
(Ali Imran :97)
   Pensyariatan ibadat ini menjelaskan bahawa pengorbanan yang jitu untuk mengerjakan ibadat haji adalah perkara yang amat diutamakan selain berfungsi untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa silam dan juga bekalan menuju akhirat. Sesungguhnya pengorbanan yang besar amat diperlukan dalam menyempurnakan setiap ibadat khasnya ibadat haji yang memerlukan pengorbanan berupa tenaga, masa dan perbelanjaan, bahkan terpaksa berjauhan dengan keluarga, sanak- saudara, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan keinginan nafsu semasa dalam ihram. Ia juga merupakan satu pengorbanan yang luar biasa dari kelaziman menunaikan ibadat-ibadat lain dalam hidup kita, umpamanya sembahyang lima waktu yang boleh dilakukan di rumah sendiri.
   Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah S.W.T. dan yang pastinya mempunyai kelebihan serta ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar.
Firman Allah S.W.T.:
   Maksudnya: Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan (hari Raya Aidiladha dan hari Tasyriq pada 11,12 dan 13 Zulhijjah) atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak (seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri). Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan melakukan tawaf sekeliling rumah (Baitullah).
(Al-Hajj : 27-29)
   Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan supaya ibadat haji disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan jarak perjalanan yang jauh. Balasan bagi haji dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam sabdanya:
عن أبي هريرة - رضي الله عنه - قال : سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول : من حَجَّ فلم يرفث ولم يفسق رجع من ذنوبه كيوم ولدته أمه\". متفق عليه (البخاري ، مسلم)
   Maksudnya: \"Barangsiapa menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan dia tiada melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang, maka bersihlah dia dari dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya\".
(Hadis diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim)
   Ibadat haji yang disyariatkan kepada umat Nabi Muhamad S.A.W. ini adalah warisan daripada ibadat yang dipelopori oleh Nabi Ibrahim A.S. Sesungguhnya ibadat haji memberikan banyak faedah kepada umat Islam sama ada dalam kehidupan harian mereka di dunia ini mahupun di alam akhirat kelak.
   Di antara hikmah ibadat haji yang boleh dinikmati oleh manusia di dunia ini ialah melatih manusia untuk sanggup berkorban apa saja semata-mata kerana Allah S.W.T. dan kebaikan diri sendiri dan orang lain, melatih diri untuk bersabar menahan ujian dan dugaan, memperkukuhkan pertahanan jiwa dalam menghadapi pencaroba hawa nafsu serta mengukuhkan lagi persaudaraan Islam sejagat.
   Dari segi akhirat pula, ibadat haji mengukuhkan iman apabila para jemaah dapat menyaksikan kesan-kesan sejarah perkembangan Islam yang dilalui oleh baginda Rasullullah S.A.W. di awal dakwahnya dahulu. Para tetamu Allah S.W.T. juga dapat melaksanakan ibadat di tempat-tempat suci dengan ganjaran yang berlipat kali ganda sesuai dengan pengorbanan mereka bersusah-payah mengunjungi Makkah al-Mukarramah.
Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الْجَنَّةُ.
   Maksudnya : Dari Abdullah bin Mas\'ud, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Turutilah kerja haji dengan ibadah umrah, sesungguhnya kedua-duanya akan menghalang kamu daripada kefakiran dan dosa, sebagaimana hembusan api menghilangkan segala kekotoran besi, perak dan emas. Haji mabrur (yang diterima) akan mendapat balasan Syurga.
(Riwayat Turmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ahmad)
Sabda Rasulullah S.A.W. lagi:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ( اَلْعُمْرَةُ إِلَى اَلْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا, وَالْحَجُّ اَلْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا اَلْجَنَّةَ )  مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
   Maksudnya : “Dari Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Umrah ke umrah menghapus dosa antara keduanya, dan tidak ada pahala bagi haji mabrur kecuali syurga.”
(Muttafaqun Alaih).
   Demikianlah besarnya ganjaran bagi mereka yang mendapat haji yang mabrur. Maka sama-samalah kita berusaha untuk menuju dan merebut ganjaran yang telah disediakan. Bagi mereka yang belum lagi berkesempatan untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah, binalah azam setinggi-tingginya, berusahalah sekuat tenaga bagi menghasilkan kesempurnaan ibadat haji, khususnya mengenai pengurusan wang ringgit. Berdoalah kepada Allah S.W.T. agar dilimpahkan rezeki yang halal sehingga mampu menjadi tetamu Allah. Sekiranya telah mencukupi syarat dan mampu untuk mengerjakannya, adalah sebaik-baiknya tidak melengahkan masa serta bertangguh-tangguh lagi untuk menunaikan ibadat yang mulia ini terutamanya mereka yang masih muda, sihat dan bertenaga. Maka manfaatkanlah kesihatan dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk menunaikan ibadat di bumi Allah ini.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
Dari Ibnu Abbas, dia berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: \"Bersegeralah melakukan haji (iaitu haji fardhu) kerana seseorang itu tidak tahu apa yang akan menimpa dirinya\".
(Hadis di riwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud).
   Bagi yang belum diberi kesempatan dan peluang untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima ini, maka kita digalakkan dan disunatkan agar melaksanakan ibadah korban. Korban yang dimaksudkan ialah menyembelih haiwan al-An’am (unta, lembu, kerbau, atau kambing) mengikut syarat tertentu dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
   Ibadat korban ini dilakukan mulai matahari terbit pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah atau disebut dengan nama hari “Tasyriq” dalam istilah ibadat haji. Binatang-binatang yang dikorbankan itu mestilah sihat, tidak cacat dan dalam umurnya yang tertentu. Tujuan pertama selain daripada untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., ia juga melatih diri agar tidak bersifat bakhil di samping mengasihani fakir miskin.
   Besarnya fadhilat korban ini dapatlah dihayati daripada sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari R.A. daripada Anas R.A. yang bermaksud:
Tidak ada satu amalan pada nahar yang lebih disukai oleh Allah S.W.T. daripada menumpahkan darah (korban,) sesungguhnya tanduk, kuku dan tulang binatang korban datang menjadi saksi pada hari kiamat, darahnya gugur ditempat mulia (syurga) sebelum gugur ke bumi. Hendaklah kamu melaksanakannya dengan penuh kerelaan, tebuslah dirimu dengannya.
   Oleh itu, dalam kesempatan yang masih ada dan jalan yang terbentang luas di hadapan kita, marilah sama-sama kita berazam untuk menjadi tetamu Allah, yang sudah tentu Allah akan memuliakan tetamu-Nya dan bertekad kukuh pula untuk melaksanakan pengorbanan yang termampu. Ingatlah bahawa Allah S.W.T. tidak meminta kita mengorbankan anak seperti Nabi Ibrahim A.S., tetapi diminta mengorbankan harta benda yang kita sanggup melakukannya selagi kita kuat beristiqamah dengan agama kita. Semoga kita mendapat keredhaan-Nya di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###