Ahad, 2 September 2012

Jihad Bukan Berperang Semata-Mata



Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa jihad hanya disyariatkan selepas nabi s.a.w berhijrah ke Madinah.
Sebelum itu, umat Islam tidak mengenali istilah jihad dan hukumnya. Padahal kenyataannya bukanlah begitu. Ini kerana
terdapat ayat al-Quran yang diturunkan pada zaman Mekah yang menyuruh nabi agar berjihad. Ayat ini ialah dalam
surah al-Furqan ayat 52. Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan
jihad yang benar."
 Dalam surah al-Nahl ayat 110, Allah juga telah berfirman yang bermaksud :
" Dan sesungguhnya Tuhanmu adalah (pelindung) bagi orang orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan,
kemudian mereka berjihad dan sabar. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” (al-Nahl, ayat 110)
Menurut sebahagian besar ulamak ayat ini diturunkan di Mekah. Antaranya ialah Ibn Zubair, Hasan al-Basri, Ikramah
‘Ata dan Jabir. Menurut Ibn Abbas, surah ini adalah makkiyyah kecuali ayat 95-97. Maksud hijrah dalam ayat
diatas ialah hijrah ke Habsyah dan bukannya hijrah ke Madinah.
Sebab utama mereka beranggapan bahawa ayat jihad diturunkan di Madinah selepas hijrah kerana mereka berpendapat
bahawa jihad dengan makna yang sempit. Mereka melihat jihad itu hanya melalui peperangan semata-mata.
Sememangnya perintah untuk berjihad dan memerangi orang musyrikin adalah setelah Rasulullah berhijrah dan tinggal
di Madinah.
Pandangan seperti ini menyebabkan sebahagian makna dan kondisi jihad yang lain dipinggirkan. Tidak diragukan lagi
bahagian terpenting jihad adalah yang muncul pada masa awal permulaan Islam di kota Mekkah iaitu jihad berdakwah,
mengajak orang musyrikin ke jalan yang benar dan memerintahkan mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka
dengan mengikut kesesatan nenek moyang mereka. Juga termasuk dalam kategori jihad ini ialah kesabaran Rasulullah
s.a.w. dan para sahabatnya dalam mempertahankan akidah, kebenaran meskipun menghadapi pelbagai cabaran,
hambatan yang berupa seksaan dan cemuhan. Satu lagi jihad yang terpenting dalam period ini ialah kesunggguhan nabi
dan para sahabatnya dalam mempelajari al-Quran dan menyingkap hukum-hukum dengan segala sesuatu yang
terkandung di dalamnya dengan penuh teliti dan tekun.
Bagaimana tidak dikatakan jihad sedangkan secara jelas Allah menyebutkan ketika berfirman kepada Rasul-Nya iaitu
ketika nabi masih di kota Mekkah dengan menyatakan : "Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan
berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar." (al-Furqan, ayat 52)
Ibn Abbas menyebutkan berjihadlah pada jalan Allah dengan menggunakan al-Quran dan dalil-dalilnya dengan jihad
yang besar. Jihad ini merupakan jihad yang besar dan merupakan inti dari perintah jihad itu sendiri. Kedudukan jihad
sebegini mempunyai keistimewaan dan kemuliaan dibandingkan dengan jihad-jihad yang lain. Jihad yang dilakukan oleh
Rasulullah semasa di Mekkah ini bagaikan sebatang pohon yang kukuh sepanjang zaman. Sedangkan perang di jalan
Allah diibaratkan sebagai cabang-cabangnya yang tumbuh berganti sesuai dengan musim yang dilaluinya.
Inilah hakikat jihad yang sebenar iaitu jihad dakwah mengajak manusia mengesakan Allah. Ia bukan bermakna
berperang atau bertempur di medan terbuka semata-mata seperti yang tersirat dalam fikiran sebahagian umat Islam kini. 
Masih banyak orang yang ketika dibacakan hadith nabi s.a.w. yang bermaksud : "Jihad yang paling utama adalah
mengucapkan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim." (Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Turmizi dan Ibn
Majah secara marfu'). Lantas mereka mentakwilkan hadith ini dengan perintah untuk melaksanakan perang. Tidak
terlintas dalam fikiran mereka "kalimah yang benar” (kalimah haq) dalam hadith tersebut kecuali mereka ertikan
dengan perang dan pertempuran. Sedangkan maksud yang sebenarnya dari hadith tersebut adalah agar dalam memberi
peringatan kepada para penguasa yang zalim hendaklah dengan cara bertutur dengan bahasa yang halus dan benar,
jauh dari kata-kata kotor ,mengumpat dan memaki.
Perintah untuk berperang baru datang setelah nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah dan dakwah pada masa itu telah diatur
oleh satu negara yang dipimpin oleh Rasulullah. Hal itu juga berkaitan untuk memelihara masyarakat Islam yang
semakin berkembang dan menjaga negara dari segala bentuk pencerobohan. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap muslim
untuk berjihad secara menyeluruh dengan dimulai dengan menerapkan pokok jihad yang utama iaitu jihad berdakwah,
mengenal Tuhan dalam diri kita, keluarga dan masyarakat. Kemudian barulah dilanjutkan dengan cabang-cabang jihad
yang lain sesuai dengan perkembangan masyarakat dan zaman..

kredit2: ABIM

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###