Khamis, 21 Jun 2012


Zakat Harta Anak Yatim Dan Orang Gila

Wajib atas wali anak yatim dan wali orang gila mengeluarkan zakat bagi pihak keduanya dari harta mereka berdua, apabila cukup nisabnya.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


84- عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ النَّاسَ فَقَالَ أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ. (رواه الترمذي)

84- Dari `Amru bin Syu'aib, dari bapanya, dari datuknya, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berucap kepada orang ramai yang lalu bersabda: "Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta,  hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) - dimakan oleh zakat.  (1)
(Hadith Dhaif Riwayat Tirmizi)
Hadith ini disokong oleh sebuah Hadith Mursal, yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafi'i, rahimahullah dalam "Musnad"nya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Carilah jalan yang menguntungkan semasa kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim,  supaya hartanya itu tidak ditelan habis oleh zakat"(2)
Disokong lagi oleh dua "Athar" (keterangan sahabat dan tabi'in) yang juga diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafi"i, maksudnya: Bahawa Saiyidatina `Aisyah r.a., semasa memelihara beberapa orang anak yatim (anak-anak saudaranya), ia mengeluarkan zakat bagi pihak anak-anak yatim itu dari harta mereka dan juga ia memperniagakan harta mereka untuk mengembangkannya.(3)
Hukum ini dikuatkan oleh al-Imam al-Syafi'i dengan umum hadith-hadith sahih yang mewajibkan zakat secara mutlak. 
Kesimpulannya:
Pertama:  Anak-anak yatim yang ada harta yang cukup nisab dan syarat-syarat yang lain, diwajibkan zakat pada hartanya, kerana zakat itu ialah hak fakir miskin pada harta orang-orang yang berharta,  sama ada mereka orang dewasa atau anak yatim yang masih belum baligh. (4)
Demikian juga halnya orang gila,  di wajibkan zakat pada hartanya dan walinya yang mengeluarkannya bagi pihaknya.(5)
Kedua:     Menerangkan bahawa hukum syarak sentiasa menjaga kepentingan segala pihak. Dalam masalah ini pihak fakir miskin ditetapkan haknya pada harta orang-orang yang berada sekalipun orang-orang yang berada itu anak yatim yang masih belum baligh.  Pihak anak yatim pula diperintahkan walinya supaya mengembangkan hartanya dengan jalan perniagaan dan jangan harta anak yatim itu dibiarkan berterusan susut dimakan oleh zakat. 
Ketiga:    Menerangkan kepada umat Islam umumnya, bahawa perbuatan membiarkan harta kekayaan ini membeku dan tidak diedarkan dengan jalan perniagaan dan sebagainya akan merugikan diri sendiri(6) dan masyarakat, malah bertentangan dengan dasar Islam.
Hakikat ini ditegaskan di dalam al-Qur'an:

.. كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ..

" .. (ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu .." (7)
______________________________
1. Tuhfah al-Ahwazi (3:29).
2. Musnad al-Imam al-Syafi'i (1:224).
3. Kitab yang sama (1:225).
4. Demikian menurut mazhab Syafi'i, Maliki dan Hanbali. Sebaliknya mazhab Hanafi mengatakan tidak wajib,  dengan alasan: Kanak-kanak yang belum baligh tidak diberati oleh syarak;  sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadith. (Tuhfat al-Ahwazi; 3:298).
5. Musnad al-Imam Al-Syafi'i (1:225).
6. Misalnya ia menyimpan wang yang besar jumlahnya dengan membiarkannya membeku - tidak digunakan, akhirnya wang itu akan susut dan habis dimakan zakat. Sebaliknya kalau tidak dikeluarkan zakatnya, buruk padahnya di dunia dan akhirat. Jalan keluar hanya satu iaitu diusahakan supaya jumlah wang itu bertambah kembang secara halal - dengan jalan perniagaan.  (Fiqh al-Sunnah, 1:337).
7. Ayat 7, Surah al-Hasyr.


Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###