Ahad, 17 Jun 2012

NIKMAT DIJALAN TUHAN


Menggunakan Nikmat Di Jalan Tuhan



Marilah kita fahami secara umum maksud menggunakan nikmat di jalan Tuhan. Pertama, cara mendapatkan nikmat itu mesti betul-betul menepati syariat. Nikmat itu didapati dengan cara yang halal dan bukan cara yang haram. 


Nikmat itu bukan didapati dengan cara mencuri, merampas atau menipu. Nikmat itu didapati dengan cara yang baik dan berhikmah. Nikmat itu didapati atas dasar ada keredhaan daripada orang yang memberinya. Kalau nikmat harta, didapati dengan jalan jual beli yang sah. Kalau nikmat ilmu, didapati dengan cara belajar dengan guru. Bagi orang muqarabin atau warak, mereka sangat berhati-hati dalam mengambil nikmat ini. Malah yang halal kalau tidak jelas halalnya, mereka tidak ambil. Mereka ini orang sangat takut dengan Tuhan sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: “Tidaklah dinamakan taqwa itu sehingga seseorang itu meninggalkan sesuatu yang tidak salah kerana takut terjebak kepada hal-hal yang salah.” 


Kedua, sudah mendapat nikmat, hendaklah dirasakan nikmat itu datang dari Tuhan. Meskipun kita dapat nikmat itu daripada orang dan kita berterima kasih kepada orang tersebut, hakikatnya semua nikmat itu adalah daripada Tuhan. Oleh itu, kenalah kita benar-benar merasakan nikmat itu daripada Tuhan. Dari sini, sepatutnya lahir berbagai-bagai rasa kehambaan dengan Tuhan. Kita rasa berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Baik memberikan nikmatNya kepada kita. Rasa malu dengan Tuhan atas nikmatnya yang banyak kepada kita sedangkan apalah sangat diri kita ini di sisi Tuhan. Rasa tidak layak untuk mendapat nikmat, contohnya jika kita diberi jawatan, kerana kita bukan orang yang selayaknya. Rasa cemas mendapat nikmat, bimbang kita tidak dapat menggunakan nikmat ini di jalan Tuhan. Atau boleh sahaja kita lalai dan salahgunakan nikmat itu. Rasa takut dengan Tuhan, takut-takut nikmat itu adalah tanda kemurkaan Tuhan kepada kita. Justeru, nikmat itu tidak menjadi rahmat tetapi bertukar menjadi istidraj. 


Juga dari sini akan lahir berbagai-bagai rasa bertuhan seperti merasakan Tuhan itu Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Adil. Ketiga, nikmat yang kita dapat itu, hendaklah digunakan mengikut kehendak Tuhan. Di sini kena ada ilmu, jika tidak, kita tidak faham mana satu kehendak Tuhan, mana satu kehendak nafsu kita. Malah perlu juga ada pimpinan agar kita sentiasa terpimpin kepada Tuhan. Nikmat harta yang banyak yang kita dapat contohnya, sepatutnya kita ambil mana yang perlu sahaja. Mana yang selebihnya, sudah bukan keperluan, maka kita kembalikan kepada Tuhan. Kita berikan pada fakir miskin atau gunakannya untuk projek membangunkan keperluan umat Islam. Kemudian, dalam menggunakanlah nikmat itu Tuhan sudah mengingatkan kita supaya tidak membazir kerana orang yang membazir itu adalah kawan syaitan. Selain itu, apapun harta yang kita ada, bila cukup syaratnya untuk berzakat, hendaklah kita tunaikan kewajiban tersebut. Contoh lain, nikmat ilmu, janganlah kita gunakan untuk tujuan cari makan. Atau kita gunakan ilmu itu untuk tujuan bermegah-megah dan mencari glamour. Ini sudah tidak menepati kehendak Tuhan.

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###