Khamis, 21 Jun 2012




Jenis Harta Yang Diwajibkan Zakat Dan Dalilnya

Meskipun perihal zakat tidak diterangkan satu persatu di dalam al-Qur'an tetapi dalam hadith dihuraikan lebih lanjut bukan sahaja tentang jenis-jenis harta yang dikenakan zakat bahkan dijelaskan "jumlah harta" atau "nisab" yang diwajibkan zakatnya.


1. Zakat Emas dan Perak: 

Zakat Emas: 


Dalil wajibnya - selain daripada yang diterangkan di dalam al-Qur'an(1) dan hadith (yang ke-79 yang lalu) ialah hadith yang berikut, yang juga menerangkan "nisab" atau "kadar" yang diwajibkan zakatnya:


87- عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ َلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ. (رواه الإمام أحمد وأبو داود)


87- Dari Ali bin Abu Talib r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ".. tidak diwajibkan atasmu sesuatupun - pada emas - sehingga ada bagimu dua puluh dinar,  kalau engkau ada dua puluh dinar dan ia pula genap setahun lamanya dalam simpananmu, maka zakatnya ialah setengah dinar. Seterusnya yang lebih dari itu hendaklah dikira menurut kiraan yang tersebut (dan dikeluarkan zakatnya) .." (2)
(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Orang yang mempunyai emas dan cukup pula syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya Syarat-syaratnya itu ialah: Islam, merdeka,  hak milik yang sempurna,  cukup nisab dan cukup "haul" (genap setahun dalam miliknya).
20 "dinar" yang tersebut dalam hadith ini ialah seberat 20 "mithqal" mengikut timbangan yang digunakan dalam zaman Rasulullah s.a.w. - bersamaan dengan 25 mayam 2.7108 saga emas:  (3)
Inilah nisab emas yang diwajibkan zakatnya.
Orang yang memiliki emas sebanyak itu atau lebih sama ada yang berketul-ketul atau yang telah ditempa menjadi barang-barang perhiasan(4), wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2 1/2 atau 1/40 pada tiap-tiap tahun selagi benda-banda itu dalam miliknya.


Cara mengeluarkan zakatnya


"Hendaklah ditimbang pada masa sampai wajibnya (cukup setahun) dan dikeluarkan daripadanya dua setengah peratus,  atau dinilai dengan harga pasaran emas pada hari itu lalu dibayar zakatnya dua setengah peratus daripada jumlah semuanya.(5)
______________________________
1. Ayat 34 dan 35, Surah al-Taubah, yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.
2. Fiqh al-Sunnah (1:339).
3. Kiraan dengan mayam dan saga yang tersebut ialah menurut yang tercatat dalam risalah 'Ibadat Zakat' yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
4. Kecuali barang-barang kemas, perhiasan badan perempuan yang tidak berlebihan had yang sepatutnya, maka ia tidak diwajibkan zakatnya.
5. Al-Itharah (Kitab Zakat) terbitan Majlis Agama Islam Selangor, hlm 8.

Zakat Perak: 


Dalil wajibnya - selain daripada yang diterangkan di dalam al-Qur'an (1) dan hadith (yang ke-79 yang lalu) - ialah hadith yang berikut, yang juga menerangkan "nisab" atau "kadar" yang diwajibkan zakatnya:


88- عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنْ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ. (رواه مسلم)
88- Dari Jabir bin Abdullah r.a., dari Rasulullah s.a.w., sabdanya: "Tidak di wajibkan zakat pada perak yang beratnya kurang dari lima awqiyah .."(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
______________________________
1. Ayat 34 dan 35 Surah Al-Taubah, yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.
2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:53).

Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut :

89- عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ. (رواه أبو داود)

89- Dari Ali bin Abu Talib r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila engkau ada dua ratus dirham,  dan ia pula telah genap setahun dalam simpanan mu, maka zakatnya (yang wajib kamu keluarkan) ialah lima dirham .." (1)


(Hadith Hasan - Riwayat  Abu Daud)


Zakat perak diwajibkan atas orang yang cukup syarat-syaratnya dan syarat-syarat itu sama dengan syarat-syarat zakat emas yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.
Lima "awqiyah" yang tersebut dalam hadith (yang ke-88) itu ialah seberat 200 dirham seperti yang diterangkan dalam hadith (yang ke 89) menurut timbangan yang digunakan dalam zaman Rasulullah s.a.w. - bersamaan dengan 176 mayam 6.9732 saga perak. (2)


Inilah nisab perak yang diwajibkan zakatnya.


Orang yang memiliki perak sebanyak itu atau lebih,  sama ada yang berketul-ketul atau yang telah ditempa menjadi barang-barang perhiasan(3), wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2 1/2 atau 1/40 pada tiap-tiap tahun selagi benda-benda itu dalam miliknya.
Cara mengeluarkan zakatnya ialah sama dengan cara mengeluarkan zakat emas yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.
______________________________
1. Ibanat al-Ahkam (2:296).
2. Kiraan dengan mayam dan saga yang tersebut ialah menurut yang tercatat dalam risalah 'Ibadat Zakat' yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
3. Kecuali barang-barang kemas: Perhiasan badan perempuan,  yang tidak berlebihan dan yang sepatutnya, maka ia tidak diwajibkan zakatnya.


Zakat Wang: 


Segala jenis mata wang yang kita gunakan hari ini wajib dikeluarkan zakatnya setelah cukup syarat-syaratnya.
Dalam risalah "Ibadat Zakat" (1) diterangkan seperti berikut:
Mata wang Malaysia yang digunakan sekarang sama ada kertas,  syiling, sen dan sebagainya adalah diwajibkan zakat. 
" .. mata wang Malaysia pada dasarnya ialah emas.  Hal ini dipandang dari segi cagarannya di mana setiap nilai mata wang yang digunakan itu dicagarkan dengan emas tulin.  Oleh itu mereka yang memilikinya wajiblah mengeluarkan zakatnya".
Syarat-syarat wajibnya zakat wang,  sama seperti syarat-syarat wajibnya zakat emas dan perak yang telah diterangkan pada bahagian yang lalu.
Oleh kerana mata wang Malaysia berdasarkan emas maka nisabnya ialah nisab emas iaitu sebanyak 20 mithqal - bersamaan 25 mayam 2.7108 saga emas,  yang nilaian harganya "mengikut nilaian harga yang ditetapkan oleh kerajaan pada tarikh zakat ini dibuat."(2)
Kadar zakatnya ialah 2 1/2 atau 1/40.
Menurut keterangan rasmi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, bahawa nisab zakat wang sekarang ini (Sya'aban 1415, Januari 1995) ialah RM2,600.00.
Nilaian ini sentiasa berubah-ubah, turun naik, mengikut harga emas di pasaran. Selain dan itu, "hutang wang tunai,  saham dalam syarikat perniagaan atau permodalan atau perusahaan,  pinjaman-pinjaman (bon), caruman tabung pekerja ...(3)" wajib dikeluarkan zakatnya.
______________________________
1. Terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, hlm. 16.
2. Risalah zakat yang sama (hlm. 17).
3. Al-Itharah (Kitab Zakat), terbitan Majlis Agama Islam,  Selangor, (hlm. 2)

2. Zakat Binatang Ternak:


Binatang ternak yang diwajibkan zakatnya ialah unta,  lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk kambing biri-biri atau kibas).
Dalil wajibnya, antara lain, ialah hadith yang berikut:


90- عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا مِنْ رَجُلٍ تَكُونُ لَهُ إِبِلٌ أَوْ بَقَرٌ أَوْ غَنَمٌ لَا يُؤَدِّي حَقَّهَا إِلَّا أُتِيَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْظَمَ مَا تَكُونُ وَأَسْمَنَهُ تَطَؤُهُ بِأَخْفَافِهَا وَتَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا كُلَّمَا جَازَتْ أُخْرَاهَا رُدَّتْ عَلَيْهِ أُولَاهَا حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ. (رواه البخاري ومسلم)


90- Dari Abu Zar r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Demi Allah yang diriku dalam kekuasaannya, mana-mana orang lelaki (dan juga perempuan) yang mempunyai unta atau lembu ataupun kambing, yang ia tidak menunaikan zakatnya, melainkan binatang-binatang ternakan itu akan dibawa pada hari kiamat dalam bentuk badan sebesar-besar dan segemuk-gemuknya, (lalu) memijak-mijak dan menanduk nanduknya. Pada tiap-tiap kali akhir barisan binatang-binatang itu meninggalkannya, datang lagi awal barisan menyiksanya. (Demikianlah azab siksa yang akan menimpanya) sehingga selesailah perbicaraan di antara umat manusia (yang akan menentukan kesudahan masing-masing)."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)


Syarat-syarat Wajibnya


Syarat-syarat wajibnya zakat binatang ternak ialah:
(1) Islam.
(2) Merdeka. 
(3) Hak milik yang sempurna. 
(4) Cukup nisab. 
(5) Genap setahun dalam miliknya dari tarikh cukup nisab. 
(6) Tidak digunakan untuk menjalankan sesuatu kerja dan tidak menanggung belanja makannya - hanya dilepaskan meragut rumput di padang.
______________________________
1. Fath al-Bari (4:66) dan Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:73).

Di dalam hadith-hadith yang berikut diterangkan pula jenis-jenis binatang ternak yang diwajibkan zakat dan "nisab" masing-masing.
Zakat Kambing (Meliputi Kambing Biri-biri):


91- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَتَبَ لَهُ هَذَا الْكِتَابَ لَمَّا وَجَّهَهُ إِلَى الْبَحْرَيْنِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ وَالَّتِي أَمَرَ اللَّهُ بِهَا رَسُولَهُ وَفِي صَدَقَةِ الْغَنَمِ فِي سَائِمَتِهَا إِذَا كَانَتْ أَرْبَعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ شَاةٌ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ إِلَى مِائَتَيْنِ شَاتَانِ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى مِائَتَيْنِ إِلَى ثَلَاثِ مِائَةٍ فَفِيهَا ثَلَاثُ شِيَاهٍ فَإِذَا زَادَتْ عَلَى ثَلَاثِ مِائَةٍ فَفِي كُلِّ مِائَةٍ شَاةٌ فَإِذَا كَانَتْ سَائِمَةُ الرَّجُلِ نَاقِصَةً مِنْ أَرْبَعِينَ شَاةً وَاحِدَةً فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا. (رواه البخاري)

91- Dari Anas r.a., bahawa Abu Bakar al-Siddiq (khalifah Islam yang pertama) r.a., telah menulis baginya - surat ini - semasa ia mengutusnya ke pulau Bahrain: 
"Ini ialah (keterangan) tentang wajibnya zakat yang telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. atas orang-orang Islam dan yang telah diperintahkan Allah kepada Rasulnya untuk menerangkan .. "
"Dan (ketahuilah) mengenai zakat kambing - yang dibela secara dilepaskan meragut rumput di padang - apabila ia berjumlah empat puluh hingga seratus dua puluh ekor (maka zakatnya) ialah seekor kambing. (1)"
Apabila jumlahnya melebihi seratus dua puluh hingga dua ratus ekor, maka zakatnya ialah: Dua ekor.
Apabila jumlahnya melebihi dua ratus hingga tiga ratus ekor, maka zakatnya ialah tiga ekor.
Apabila jumlahnya melebihi tiga ratus ekor maka zakatnya pada tiap-tiap seratus ekor ialah seekor.
Dalam pada itu apabila kambing seorang itu kurang seekor dan empat puluh ekor maka kambing itu tidak dikenakan zakat - kecuali tuannya suka hendak mengeluarkan zakatnya .." (2)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Hadith ini antara lain, menerangkan bahawa permulaan "nisab kambing" ialah 40 ekor, jika kurang dari itu walau seekor sekalipun, maka kambing itu tidak diwajibkan zakatnya - kecuali tuannya dengan sukarela hendak mengeluarkan zakatnya.
Permulaan nisab kambing biri-biri dan cara mengeluarkan zakatnya, sama seperti permulaan nisab kambing biasa dan cara mengeluarkan zakatnya yang tersebut.
______________________________
1. Berumur dua tahun, jika ia kambing biasa atau berumur satu tahun, jika ia kambing biri-biri.  (Al-Muhazzab, 1:155).
2. Fath al-Bari (4:59).

Zakat Lembu (dan Kerbau):


92- عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلَاثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً. (رواه الترمذي وغيره)


92- Dari Mu'az r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah mengutusku ke negeri Yaman dan memerintahkan supaya mengambil (zakat lembu) dan tiap-tiap 30 ekor, seekor lembu jantan yang berumur setahun atau seekor lembu betina yang berumur setahun dan dari tiap-tiap 40 ekor, seekor lembu betina yang berumur dua tahun."(1)
(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi dan lain-lainnya)


Hadith ini antara lain, menerangkan bahawa permulaan "nisab lembu" ialah 30 ekor. Orang yang mempunyai lembu sebanyak itu atau lebih dan cukup syarat-syaratnya, diwajibkan membayar zakatnya.


Menurut huraian ulama' rahimahullah makin bertambah jumlahnya, makin bertambah zakatnya, seperti berikut:


30 hingga 39 ekor, zakatnya seekor lembu jantan (atau betina) yang berumur setahun lebih. 
40 hingga 59 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih. 
60 hingga 69 ekor, zakatnya 2 ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.
70 hingga 79 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih dan seekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.
80 hingga 89 ekor, zakatnya 2 ekor lembu betina yang berumur dua tahun lebih.
90 hingga 99 ekor, zakatnya 3 ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih.
100 hingga 109 ekor, zakatnya dua ekor lembu jantan yang berumur setahun lebih dan seekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih.
110 hingga 119 ekor, zakatnya 2 ekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih dan seekor lembu betina yang berumur setahun lebih.
120 ekor, zakatnya 4 ekor lembu betina yang berumur setahun atau 3 ekor lembu betina yang berumur 2 tahun lebih.(2)
Seterusnya, yang lebih dari itu, tiap-tiap 30 ekor, zakatnya seekor lembu jantan yang berumur setahun dan tiap-tiap 40 ekor, zakatnya seekor lembu betina yang berumur 2 tahun.(3)
Permulaan nisab kerbau dan cara mengeluarkan zakatnya, sama seperti permulaan nisab lembu dan cara mengeluarkan zakatnya yang tersebut.
______________________________
1. Jami' al-Tirmizi (3:257) dan al-Taj al-Jami' Lil Usul (2:12).
2. Sabil al-Muhtadin, (2:89) dan Fiqh al-Sunnah (1:365).
3. Kitab yang sama (1:366)

Zakat Unta: 


93- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ ذَوْدٍ مِنْ الْإِبِلِ صَدَقَةٌ. (رواه البخاري)


93- Dari Abu Sa'id (al-Khudri) r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. tidak dikenakan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Hadith ini menerangkan bahawa permulaan "nisab unta" ialah lima ekor Jika kurang dari itu, tidak diwajibkan zakatnya.
Dalam sebuah hadith yang panjang, yang juga diriwayatkan oleh imam Bukhari rahimahullah,(2) (dan juga imam-iman yang lain) ada disebutkan satu persatu mengenai zakat unta dan cara mengeluarkannya.
______________________________
1. Fath al-Bari (4:65).
2. Kitab yang sama (4:58).

Binatang Ternak Yang Cacat Tidak Sah Di jadikan Zakat: 


Selain dari itu binatang ternak yang diberikan sebagai zakat hendaklah sempurna sifatnya, kerana yang cacat,  tidak sah dijadikan zakat. 
Hakikat ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


94- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَتَبَ لَهُ الصَّدَقَةَ الَّتِي أَمَرَ اللَّهُ رَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا يُخْرَجُ فِي الصَّدَقَةِ هَرِمَةٌ وَلَا ذَاتُ عَوَارٍ. (رواه البخاري)

94- Dari Anas r.a., bahawa (khalifah Islam yang pertama) Abu Bakar al-Siddiq r.a., menulis surat baginya mengenai (hukum zakat) yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w.  (untuk menyampaikannya). Dalam surat itu disebutkan: "Dan janganlah mengeluarkan atau mengambil mana-mana binatang zakat yang telah tua (gugur giginya) dan yang cacat matanya (atau anggotanya) .. "(1)
______________________________
1. Fath al-Bari (4:63).


3. Zakat Hasil Tanaman: 


Hasil tanaman yang diwajibkan zakatnya ialah:


a. Biji-bijian dari jenis-jenis yang mengenyangkan dan tahan disimpan, seperti padi, gandum,  jagung dan lain-lainnya.
b. Buah-buahan: Kurma dan anggur sahaja.
Dalil wajibnya ialah firman Allah Taala di dalam al-Qur'an:


... وَءَاتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


" .. dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari kamu memetik (hasil tanaman kamu) atau menuainya dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa yang kamu makan atau belanjakan), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau-lampau."(1)


Syarat-syarat Wajibnya:


Syarat-syarat wajibnya zakat hasil tanaman ialah:
(1) Islam,
(2) Merdeka, 
(3) Hak milik yang sempurna, 
(4) Cukup nisab, 
(5) Dari jenis biji-bijian dan buah-buahan yang mengenyangkan dan tahan disimpan,
(6) Ditanam oleh manusia. 
Dalam hadith yang berikut di terangkan permulaan "nisab" atau "kadar yang diwajibkan zakat":


95- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ صَدَقَةٌ. (رواه مسلم)

95- Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a., dari nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Tidak dikenakan zakat pada (hasil tanaman) yang beratnya kurang dari lima wasaq .."(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Lima "wasaq" yang tersebut ialah bersamaan dengan 363 (tiga ratus enam puluh tiga) gantang Malaysia setelah dibersihkan dari jerami dan hampanya.
Orang yang mempunyai hasil tanaman yang termaklum sebanyak itu atau lebih diwajibkan membayar zakatnya.
Hasil tanaman (biji-bijian dan buah-buahan) yang didapati dari tanaman yang dijirus dengan air yang diangkut maka zakatnya ialah 5 atau 1/20.
Sebaliknya tanaman yang hidup dengan air hujan atau air sungai atau tali air, maka zakatnya ialah 10 (peratus), atau 1/10.
______________________________
1. Ayat 141, Surah al-An'am.
2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:50).


Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

96- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِيمَا سَقَتْ السَّمَاءُ وَالْعُيُونُ أَوْ كَانَ عَثَرِيًّا الْعُشْرُ وَمَا سُقِيَ بِالنَّضْحِ نِصْفُ الْعُشْرِ. (رواه البخاري)


96- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Pada tanaman yang hidup dengan air hujan dan mata air yang mengalir atau ia dari jenis tanaman yang hidup semata-mata dengan menyedut air dengan akar-akarnya yang menjalar, (maka zakatnya) ialah: Sepuluh peratus dan pada tanaman yang hidup dengan siraman air yang diangkut, (maka zakatnya) ialah: Lima peratus. "(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
______________________________
1. Fath al-Bari (4:90).

4. Zakat Barang-barang Perniagaan: 


" .. barang-barang perniagaan ialah semua mata benda perniagaan yang diniatkan untuk tujuan berniaga seperti barang-barang runcit, makanan, minuman,  pakaian,  kenderaan, pelbagai alatan dan lain-lain".(1)
Dengan kata lain:
"Barang-barang perniagaan: 
(a) Sebarang rupa perniagaan yang memperdagangkan barang-barang.
(b) Sebarang perusahaan yang mengeluarkan barang-barang.
(c) Sebarang usaha mengambil upah seperti pengangkutan udara atau laut atau darat."(2)
Orang-orang Islam yang menjalankan perniagaan dan cukup syarat-syaratnya, wajib membayar zakat barang-barang perniagaannya.
Dalil wajibnya ialah firman Allah Taala di dalam al-Qur'an:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ ...


"Wahai orang-orang yang beriman,  belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik .." (3)
Mujahid, rahimahullah berkata:  Turunnya ayat ini mengenai perniagaan. (4)
______________________________
1. Risalah "Ibadat Zakat" terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
2. Al-Itharah (Kitab Zakat), terbitan Majlis Agama Islam,  Selangor, (hlm. 2).
3. Ayat 267, Surah al-Baqarah.
4. Al-Taj al-Jami' lil Usul (2:20).

Di dalam hadith pula diterangkan seperti berikut:

97- عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُنَا أَنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنْ الَّذِي نُعِدُّ لِلْبَيْعِ. (رواه أبو داود)

97- Dari Samurah bin Jundub r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w ada memerintahkan kami, supaya mengeluarkan zakat dari apa yang kami sediakan untuk jualan. "(1)
(Hadith Hasan - Riwayat  Abu Daud)
Syarat-syarat wajibnya zakat perniagaan: 


Syarat-syarat wajibnya ialah:


(1) Islam.
(2) Merdeka. 
(3) Hak milik yang sempurna. 
(4) Genap setahun perniagaan dijalankan.
(5) Cukup nisab pada tarikh perniagaan ini genap setahun.


"Nisab zakat barang-barang perniagaan" sama seperti "nisab zakat wang".(2) Oleh kerana mata wang Malaysia berdasarkan emas,  maka nilaian ini sentiasa berubah-ubah, turun naik, mengikut harga emas dalam pasaran.


5. Zakat Benda-benda Galian:


Benda-benda galian yang dimaksudkan di sini ialah dari emas dan perak sahaja.
Hasil emas dan perak yang didapati dari lombong dan sebagainya dan cukup pula nisabnya sebanyak 20 misqal atau lebih,  hendaklah dikeluarkan zakatnya, sebanyak 2 1/2 , sebaik-baik sahaja mendapat benda-benda galian itu dengan tidak menunggu cukup setahun.
Dalil wajibnya ialah hadith yang berikut:


98- عَنْ بِلَالِ بْنِ الْحَارِثِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ مِنَ الْمَعَادِنِ الْقَبَلِيَّةِ الصَّدَقَةَ. (رواه أبو داود)


98- Dari Bilal bin al-Harith r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengambil zakat dari (emas dan perak) yang didapati dari perlombongan al-Qabaliyah."(1)
(Riwayat Abu Daud)
______________________________
1. Ibanat al-Ahkam Syarah Bulugh al-Maram (2:317).

6. Zakat Rikaz:


"Rikaz" ialah harta benda yang terpendam dalam tanah yang telah ditanam oleh orang-orang dahulu kala - zaman jahiliyah.
Mana-mana orang Islam yang mendapat harta terpendam yang demikian, diwajibkan membayar zakatnya sebanyak lima peratus - dengan syarat harta itu cukup nisabnya.(1)
Dalil wajibnya ialah hadith yang berikut:


99- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَفِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ. (رواه البخاري)


99- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. dan pada rikaz (diwajibkan zakatnya) satu perlima. "(2)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Hadith ini menerangkan kadar zakat yang diwajibkan pada rikaz dan menerangkan bahawa orang yang mendapat rikaz itu - setelah mengeluarkan zakatnya satu perlima,  berhak memiliki empat perlima yang bakinya.
______________________________
1. Al-Imam al-Syafi'i rahimahullah menyatakan bahawa "Rikaz" yang diwajibkan zakatnya, disyaratkan cukup nisab (Ibanat al-Ahkam, 2:315 dan al-Taj al-Jami' lil Usul,  2:19).
2. Fath al-Bari (4:107).

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###