Ahad, 17 Jun 2012

MENGHAYATI SIFAT TUHAN


HAYATILAH SIFAT TUHAN HINGGA JATUH CINTA KEPADANYA






Roh sebelum dihantar ke alam dunia ini memang sudah mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang wajib disembah.
Pernah Allah bertanya kepada roh: “Tidakkah Aku ini Tuhan kamu?”
Jawab roh: “Bahkan.”


Ini membuktikan roh sudah pun mengenali dan mengakui Allah sebagai Tuhannya tanpa perlu belajar atau diajar. Tetapi sebaik sahaja roh itu dimasukkan ke dalam jasad manusia; berpindah dari alam roh kepada alam dunia, berpindah dari alam yang cerah kepada alam yang gelap pekat; ia sudah lupa kepada Tuhannya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?


Untuk menjawab pertanyaan itu, mari kita fikir sejenak. Kadangkala untuk kita mengimbas semula kisah sewaktu kita masih kecil pun mustahil kita dapat ceritakan secara terperinci peristiwa demi peristiwa yang berlaku ke atas diri kita. Melainkan ibu, ayah atau adik-beradik yang lebih tua dari kita yang menceritakan kisah tersebut. Itu pun hanya tidak secara terperinci.

Banyak perkara yang kita sendiri lupa tentang diri sendiri. Sedangkan jarak masa tersebut tidaklah terlalu lama cuma puluhan tahun. Inikan pula sewaktu semua manusia berada di alam roh (sebelum Nabi Adam di turunkan ke bumi), tentulah kita sudah terlupa dengan apa yang pernah roh kita ucapkan di hadapan Tuhan itu. Sebab itulah apabila kita dilahirkan ke dunia, ibu bapa atau pendidiklah bertanggungjawab mengenalkan sifat-sifat Tuhan kepada kita. Kerana tanpa kenal Tuhan, mustahil kita dapat menyintai-Nya. Bak kata pepatah Melayu, “Tak kenal maka tak cinta”.


Dalam pengalaman kita sendiri, untuk kita mengenal seseorang itu pun memakan masa. Tidak cukup sekadar mengenal namanya, anak siapa atau di mana tempat tinggalnya. Lebih-lebih lagi untuk sampai kita jatuh hati kepadanya; mestilah kita kenal hati budinya. Jasa-jasa yang telah dilakukan; akhlaknya, pemurahnya, sifat penyayangnya, penyabarnya dan sebagainya. Jika setiap hari kita diceritakan tentang dirinya; pengorbanan yang dibuat, jasa-jasanya, kehebatan peribadinya, ibadahnya serta kebaikan-kebaikan lain yang dibuat; tentulah timbul keinginan untuk mengenali dirinya lebih dekat lagi. Bila timbul keinginan untuk mengenalinya, kita sendiri yang akan berusaha untuk bertanya kepada yang punya diri. Kalau tidak pun kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai orang yang kita suka itu. Kita bukan sahaja tahu namanya atau latar belakang mengenai dirinya, tapi kita juga boleh ceritakan apakah kegemarannya, hobinya pada waktu lapang, makanan kesukaannya. Kadang-kadang perkara yang dibencinya juga kita boleh dapat tahu. Lama-kelamaan kerana rapatnya hubungan kita dengannya, tanpa disedari akan berputik pula rasa suka, sayang dan rindu kalau lama tidak berjumpa. Inilah bibit-bibit cinta bila hati sudah jatuh hati kepada seseorang.


Begitu juga kalau kita ingin jatuh cinta kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita. Kita mesti mengetahui sifat-sifat-Nya supaya kita kenal siapa Tuhan yang kita sembah setiap hari. Selama ini kita hanya kenal Allah sebagai Tuhan kita. Dia yang berhak disembah. Jika tidak menyembah-Nya boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Tetapi pengenalan yang terlalu umum seumpama itu tidak menimbulkan rasa cinta apalagi rindu untuk selalu `menghadap-Nya `. Selama ini kita bersembahyang atau menghadap Tuhan kerana terpaksa, sebagai satu ke-wajipan. Bukan kerana rindu untuk bertemu denganNya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya lebih-lebih lagi jatuh cinta kepada-Nya, kita mesti tahu sifat-sifat Tuhan. Supaya semakin kita kenal Tuhan, maka semakin indah kita rasakan memiliki Tuhan. Apabila kenal siapa Tuhan kita, barulah timbul perasaan cinta dan takut kepada-Nya. Bahkan kita rasa terhutang budi kepada-Nya kerana Dia memberi nikmat terlalu banyak kepada kita.


Untuk mengenali sifat-sifat Tuhan,kita mestilah memiliki ilmu tentang-Nya. Ilmu itu pula disampaikan oleh guru yang boleh mendidik hati kita. Sifat-sifat Tuhan itu terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu. Cuma mari kita ambil beberapa sifat Tuhan untuk dibincangkan di sini demi mendekatkan diri kita dengan Tuhan.


1 . Sebagai Pelindung


Mari kita rasakan dan yakini bahawa Tuhan adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat. Duduk di bawah Perlindungan-Nya, kita tidak perlu rasa bimbang. Dialah Penjaga yang tidak pernah rehat-rehat. Kalau seorang ibu yang menjaga anaknya, pun masih perlu tidur pada waktu malam. Dan sewaktu dia rehat atau tidur, kalau berlaku apa-apa ke atas anaknya, dia pasti tidak tahu kerana tertidur. Tetapi Tuhan sebagai Penjaga yang tidak pernah tidur, letih, rehat atau terlalai.
Sebab itu ada orang soleh yang setiap kali hendak tidur,dia akan mengamalkan doa ini: ” Wahai Tuhan,Engkaulah Penjagaku sewaktu aku jaga dan aku tidur.Engkau jagalah aku sewaktu aku tidur kerana Engkau tidak tidur.Dan bangunkan aku dari tidurku untuk aku beribadah kepadaMu. “


2. Tuhan Sebagai Pengawal


Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib. Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Tuhan itu?


3. Tuhan Sebagai Penyelamat


Lebih-lebih lagi sifat Penyelamat Dalam apa jua keadaan yang genting sekalipun, Dialah satu-satunya Penyelamat. Saksikan sejarah Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam kawah api yang besar atau peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun. Kedua-duanya Tuhan selamatkan. Begitu juga kisah Nabi Musa sewaktu dikejar oleh Firaun serta tenteranya. Anabila berdepan dengan saat genting didepannya lautan yang luas sedang tentera Firaun mengejar dibelakangnya;siapa yang menyelamatkan mereka. Bukankah sifat Penyelamat Tuhan yang menyelamatkan mereka dengan terbelahnya lautan tersebut menjadi laluan untuk mereka menyeberanginya?
Sebab itu rasakan dan yakinlah bahawa Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.


4. Tuhan Berkuasa Berbuat Apa Saja


Walaupun sifat Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat; Dia juga boleh melakukan apa sahaja ke atas diri kita. Buktinya banyak kita dengar kejadian kemalangan yang meragut nyawa, banjir besar, gempa bumi, kemarau dan berbagai kes jenayah yang kesemuanya melibatkan keselamatan manusia? Bencana alam yang disebutkan itu, bukan sahaja meragut nyawa manusia malah dalam sekelip mata bencana tersebut boleh meranapkan segala bangunan serta infrastruktur yang ada bagaikan padang jarak padang tekukur.


Dalam hal ini kita perlu faham, apa sahaja kejadian yang Allah timpakan, pasti ada hikmah yang tersirat kerana Dia Maha Suci daripada menzalimi makhlukNya . Di sinilah kita perlu takut kepada-Nya. Gerun dengan kemurkaan-Nya itu. Hanya dengan menyebut kun atau `jadi` maka `jadilah` sepertimana kehendak Allah.

KREDIT2:KATAGANTI

Tiada ulasan:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...




### Sabda Rasulullah SAW : "Di tengah-tengah kalian terdapat masa KENABIAN yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKHILAFAHAN yang mengikuti Manhaj Kenabian yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN YANG ZALIM yang berlangsung selama Allah menghendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu ketika Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan ada masa KEKUASAAN DIKTATOR (kuku besi) yang menyengsarakan yang berlangsung selama Allah mengkehendakinya. Lalu Dia mengangkat masa itu saat Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul kembali masa KEKHILAFAHAN yang mengikut MANHAJ KENABIAN." Setelah itu Beliau diam. (HR Ahmad)### @@@ MANUSIA YANG BERAKAL IALAH MANUSIA YANG SUKA MENERIMA DAN MEMINTA NASIHAT
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ ڪَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَہُمُ ٱلَّذِى ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّہُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنً۬ا‌ۚ يَعۡبُدُونَنِى لَا يُشۡرِكُونَ بِى شَيۡـًٔ۬ا‌ۚ وَمَن ڪَفَرَ بَعۡدَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (SURAH AN NUR:55)###